Friday, 4 April 2014

PENGENALAN TERAPI MUZIK Terapi muzik adalah alternatif dalam rawatan moden dan satu bidang profesional yang menggunakan muzik bertujuan untuk pemulihan, pemeliharaan dan peningkatan taraf kesihatan mental serta fizikal. Ia adalah satu teknik klinikal dan evidence -based yang dijalankan oleh pakar dan berdasarkan kepada fakta-fakta hasil kajian.. Muzik adalah satu getaran tenaga bunyi dimana getaran tenaga bunyi bergetar pada tahap-tahap berbeza. Tenaga yang serupa juga wujud dalam tubuh dan minda kita. Sekiranya getaran tenaga bunyi boleh bergetar seiringan dengan tenaga dalam badan kita, muzik boleh dianggap sebagai ubat yang memulihkan. Muzik boleh didefinisikan sebagai kumpulan nada yang dihasilkan oleh gabungan bunyi-bunyian daripada alat-alat yang disusun serta mengandungi irama dan harmoni. Muzik merentasi sempadan negara, bangsa dan budaya. Muzik sebagai satu wahana komunikasi mampu mengumpulkan pendengar daripada pelbagai bangsa, budaya, agama dan negara. Nyanyian dan muzik mampu menukar tingkah-laku seseorang iaitu ia mampu menukar emosi seseorang menjadi tenang, pilu, hiba, menangis, bermotivasi atau ke tahap yang tidak boleh dikawal akhlaknya. Ianya mempunyai kaitan yang rapat dengan jiwa seseorang insan. PERKEMBANGAN TERAPI MUZIK Sejarah terapi muzik telah termaktub sejak zaman purba. Di mana sebuah buku ajaran Cina “I Ching” menyatakan “muzik mempunyai kuasa untuk menenangkan ketegangan dalaman dan juga berupaya untuk mengurangkan gangguan emosi seseorang. Dalam Islam, muzik yang tidak membawa kepada perbuatan mungkar adalah dibenarkan. Para ulama’ bersetuju muzik tidak dilarang Islam berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam Surah Luqman (31: 19) yang bermaksud: “Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.”Menurut al-Ghazali dalam ayat yang berkaitan, Allah s.w.t. memuji suara yang baik, sehingga tidak dilarang mendengarkan nyanyian yang baik. Al-Kindi telah menulis buku berkenaan muzik dan telah dialih bahasa untuk kegunaan orang Eropah di antaranya ialah The Essentials of Knowledge in Music (Pengetahuan Penting dalam Muzik), On The Melodies (Melodi) dan The Necessary Book In The Composition of Melodies (Buku Penting untuk Mencipta Melodi). Begitu juga al-Farabi yang hidup selepas 70 tahun era al-Kindi, beliau telah menulis tentang teori muzik iaitu Great Book on Music (Buku Hebat tentang Muzik), Styles In Music (Gaya Muzik), On The Classification of Rhythm (Klasifikasi Irama). Buku Great Book on Music telah diterjemah ke bahasa Hebrew dan kemudian ke bahasa Latin pada abad ke-12 Masehi. Banyak alat yang terdapat dalam muzik tradisional, rock dan okestra berasal daripada Islam-Arab, contohnya seperti lute yang berasal daripada al-‘ud, rebec daripada rababah, gitar daripada qitara dan naker daripadanaqqara (dram kayu yang dilitupi kulit kambing). Kajian-kajian lepas menunjukkan bahawa muzik klasik karya Mozart misalnya boleh digunakan untuk mengurangkan penderitaan pesakit (mengurangkan tekanan). Perubahan dari segi kognitif, sosial dan emosi mampu dicapai melalui teknik muzik tertentu. Malah kini terdapat seramai 6,000-10,000 pakar terapi muzik terlatih di seluruh dunia dan sedia memberi perkhidmatan kepada masyarakat terutama yang menghadapi trauma, gangguan emosi, terencat akal, ketegangan, penyakit kanser, juga AIDS. KAEDAH PELAKSANAAN TERAPI MUZIK Teknik Penafsiran Klinikal Khusus- melalui teknik ini, pakar terapi akan menjalankan program muzik terapi membabitkan teknik mendengar pilihan muzik tertentu, memainkan alat muzik, menyanyi, perbincangan lirik muzik, mengarang dan mengubah lagu, membuat persembahan berkumpulan, hipnosis muzik, menari atau melukis menggunakan muzik. Muzik adalah satu getaran tenaga bunyi. Gegaran tenaga bunyi bergetar pada tahap-tahap yang berbeza. Tenaga yang serupa juga wujud dalam tubuh dan minda manusia. Sekiranya getaran tenaga bunyi boleh bergetar seiringan dengan tenaga dalam badan kita, muzik boleh dianggap sebagai ubat yang memulihkan. Terdapat 7 sistem kalenjar dalam badan manusia, tujuh warna dalam spektrum dan tujuh nota dalam skala muzik. Setiap warna dan setiap nota mempunyai satu getaran atau tahap tenaga yang unik yang merangsang pusat tenaga pada minda dalam caranya yang unik, rangsangan yang sama ini akan disusuli ke dalam tubuh kita. Apabila kita terdedah pada getaran-getaran ini, neuroendokrin dan sistem imunasi kita akan diperkukuhkan dan disucikan. Pusat keseronokan dalam otak kita juga memberikan rangsangan untuk merembeskan endorfin, iaitu penenang kesakitan semulajadi badan. Tekanan hidup selalunya akan menyebabkan himpitan antara kalenjar-kalenjar thymus dan ini mengakibatkan pengurangan tenaga dalam tubuh seseorang. Dengan menggunakan terapi warna dan muzik untuk merangsang dan meningkatkan fungsi kalenjar-kalenjar thymus, kita akan mengalami sejenis kepuasan mengalir ke semua deria kita sekaligus meringankan tekanan.
PENGENALAN TERAPI AROMA Istilah 'Aromaterapi' sebenarnya terdiri dari dua patah perkataan iaitu “Aroma” bermaksud bau atau haruman, dan “Teraphy” yang bermaksud rawatan.Terapi aroma adalah gabungan antara aroma iaitu wangian atau bauan yang hadir daripada pati minyak dan bauan tersebut diaplikasi untuk melegakan dan memulihkan simptom-simptom fizikal serta meningkatkan kesihatan mental. Cara rawatan penyakit menggunakan aroma yang dihasilkan dari tumbuhan herba atau bunga-bungaan. Penggunaan minyak wangi atau bau-bauan semasa rawatan. Aromaterapi adalah kaedah rawatan yang holistik, ianya mengambil kira kesan positif yang akan terhasil dari segi jasmani, minda dan rohani. Menggunakan aroma( bau) untuk merangsang bahagian-bahagian otak. Aromaterapi merupakan suatu seni penyembuhan yang berasaskan alam semulajadi. Prinsip asas dari aromaterapi adalah untuk: • menguatkan proses penyembuhan diri dengan cara merangsang sistem imunisasi secara tidak langsung. • Rangsangan bau mempengaruhi emosi dan hormon di dalam badan. PERKEMBANGAN TERAPI AROMA Terapi Aroma sudah digunakan sejak peradaban kuno oleh bangsa Mesir sekitar 6000 tahun yang lalu. Terapi ini juga digunakan oleh bangsa Romawi dan Yunani yang menggabungkan urutan dengan wangi-wangian tertentu. Bangsa Romawi dan Yunani juga menggunakannya dengan air mandi yang dicampuri minyak wangi. Terapi aroma juga dipraktikkan di Timur Tengah dengan penyulingan bunga-bungaan. Terapi aroma juga sudah dikenali di China sejak 2700 sebelum Masihi. Pembakaran dupa wangi untuk memuja para dewa juga sudah dikenal di India pada 3000 tahun yang lalu. Suku-suku Indian kuno di benua Amerika juga menggunakan wangi-wangian dalam ritualnya. Kemudian seorang ahli kimia berkebangsaan Perancis, Rene Maurice Gattefosse, melakukan penelitian mengenai daya penyembuhan minyak esensial. Pada tahun 1937 dia memperkenalkan penggunaan istilah Aromatherapy, dalam buku yang membahaskan hasil penelitiannya. KEPERLUAN TERAPI AROMA Kanak-kanak Dapat menikmati pengalaman dan menghubungkan bau-bauan tertentu dengan perasaan positif. Kanak-kanak berasa tenang dan membantu kesihatan pencernaan mereka Autisme Membolehkan kanak-kanak berasa tenang dan membantu badan mereka menyelaraskan apabila perasaan kebimbangan datang dalam diri. Dapat membantu mengekalkan setiap perkara seimbang, tenang dan gembira Kehidupan Seharian Terapi ini membantu bayi atau anak kecil tidur dengan aman. Ia juga untuk melegakan sistem pencernaan dan memberi perasaan gembira dan kepuasan. Dapat menggalakkan tumpuan dan fokus yang lebih baik KAEDAH PELAKSANAAN TERAPI AROMA Terdapat pelbagai aktiviti menarik yang berunsurkan terapi aroma dapat dilaksanakan sekiranya guru kreatif dalam mempelbagaikan teknik pengajaran. Namun begitu, mengajar murid-murid khas lebih mencabar dan guru perlu meningkatkan daya krativitinya bagi memenuhi keperluan mereka. Oleh itu, perlaksanaan aktiviti seperti murid-murid lain harus dimodifikasikan bagi mengatasi masalah yang berkemungkinan akan berlaku.

Wednesday, 2 April 2014

TERAPI HIDRO Hidroterapi bermaksud terapi air atau rawatan air. Rawatan ini bukan sahaja melakukan aktiviti renang malah aktiviti berendam di dalam air juga dilakukan. Terapi hidro menggunakan air sebagai medium semulajadi untuk meringankan atau mengubah keadaan sedia ada kepada yang lebih baik.Terapi ini sangatlah sesuai untuk perkembangkan fizikal pergerakan motor kasar dan halus serta mental. Otot dan otak dirangsang kerana pergerakan dalam air lebih mudah dan meredakan ketegangan dan rasa sakit. PERKEMBANGAN TERAPI HIDRO Berdasarkan sejarah, air dipelopori oleh Paderi Bavaria Jerman, Sebastian Kneipp pada awal abad ke-19 yang menghidap penyakit batuk kering. Dia percaya banyak penyakit boleh disembuhkan oleh air kerana air boleh menyingkirkan toksik dan bahan kumuh dalam badan. Ketika sakit, dia membaca buku mengenai terapi hidro karya seorang pakar perubatan mengatakan bahawa penyakitnya boleh dirawat jika dia berendam 2-3 kali seminggu di sungai Danube yang sejuk untuk meransang sistem imun.Terbukti selepas melakukannya, kesihatan Kneipp bertambah baik dan dari situ dia mula meneroka lebih dalam lagi tentang terapi air dan memperkenalkan kaedahnya sendiri. Sebenarnya sejarah rawatan menggunakan air bermula 4500 tahun sebelum Masihi berdasarkan penemuan runtuhan tab mandi kuno di Pakistan. MaNakala rumah mandi awam dikatakan menjadi antara unsur penting dalam budaya Rom kuno. Malah pakar perubatan Rom, Galen dan Celsus menulis majalah menyarankan amalan mandian sejuk dan suam bagi mencegah penyakit. Rumah mandi awam mula popular di seluruh Eropah pada kurun ke-17 dan 18 dan menjadi ikutan di Amerika pada pertengahan tahun 1700-an. Penggunaan air bagi tujuan perubatan juga tercatat dalam sejarah Cina, Jepun, India, Yunani dan Timur Tengah. Terapi air terus berkembang di seluruh pelosok dunia dan digunakan sebagai satu rawatan alternatif bagi menyembuhkan pelbagai jenis penyakit. KEPERLUAN TERAPI HIDRO Hidroterapi didapati sesuai untuk perkembangan fizikal dan pergerakan motor kasar dan motor halus serta mental murid-murid berkeperluan khas di mana segala otot-otot dan otak mereka dapat dirangsang, pergerakan dalam air lebih mudah dan bebas, serta tidak dibebani seperti keperluan alat sokongan yang menghadkan pergerakan. Imbangan dalam air bukanlah masalah utama. Oleh itu lebih banyak pergerakan dapat dilakukan dan daya penumpuan individu dapat dipertingkatkan dan masalah tingkahlaku didapati tidak seperti lazimnya. Ini disebabkan oleh ransangan air secara semulajadi. Walaubagaimanapun, murid-murid mungkin mengalami sedikit rasa takut dengan air. Di sinilah guru memainkan peranan membantu dalam membina keyakinan diri. Hasilnya murid-murid akan dapat membina konsep diri yang positif melalui aktiviti hidroterapi ini. Melalui hidroterapi juga, ianya dapat memantapkan perkembangan fizikal melalui pelbagai aktiviti seperti regangan, melembutkan sendi-sendi, meningkatkan daya ketahanan otot-otot dan jantung. Banyak aktiviti dan pergerakan yang tidak dapat dilakukan di darat dapat dipraktikkan di dalam air. Dalam hubungan ini, terapi hidro dapat meneroka pergerakan-pergerakan yang boleh dilakukan oleh murid-murid ini. Bagi sesetengah murid, mereka didapati lebih berkeyakinan di air berbanding di darat. Kejayaan sesuatu program pengajaran bergantung pada prosedur pengajaran yang jelas, sokongan dan garis panduan yang diberi. Walau bagaimanapun garis panduan adalah sama untuk semua, hanya penyesuaian dan modifikasi diperlukan terhadap individu berkeperluanyang unik ini. Sebelum menjayakan aktiviti renang untuk murid-murid berkeperluan khas ini, faktor yang paling penting dan perlu diambil kira adalah faktor keselamatan. Kita melihat faktor keselamatan ini dalam sudut ketidakupayaan fizikal dan tahap ketidakupayaan intelektual murid-murid tersebut. i. Ketidakupayaan Fizikal Guru hendaklah berada di dalam air dan bersedia untuk menerima murid ke dalam kolam. Semasa berada di dalam air hendaklah dalam kedudukan berdiri dengan kaki terbuka dan kepala berada di atas paras air. Gunakan bahagian atas badan untuk mengawal imbangan dan sentiasa apungkan badan. Elakkan daripada menunjukkan perasaan bimbang kepada murid sewaktu berada di dalam air kerana ini boleh menyebabkan mereka menjadi bimbang dan takut. Guru perlu sentiasa bercakap dan memberi galakkan kepada murid semasa mereka hendak masuk ke dalam air. ‘Eye Contact’ boleh membantu membina keyakinan murid. Latihan hendaklah dimulakan dengan memasuki kawasan sudut kolam yang cetek. ii. Ketidakupayaan Intelektual Ketidakupayaan intelek juga dialami di mana tahap tumpuan yang singkat menyebabkan maklumat yang diberi tidak dapat disimpan dengan sempurna. Oleh itu, penjelasan guru perlulah ringkas dan tepat. Terdapat murid berkeperluan khas yang kurang persepsi kemahiran motor dan persepsi mengenai jarak atau kedalaman kolam renang. Maka persepsi yang tepat dan betul perlu disampaikan kepada mereka. Harus diingat bahawa murid-murid berkeperluan khas tidak mempunyai pencapaian kemahiran yang sama, namun pada satu keadaan atau ketika mereka mungkin boleh menguasainya.

Wednesday, 19 March 2014

Objektif dan Keperluan Terapi

Objektif Terapi
1.    Dapat  mengenalpasti keperluan terapi untuk perkembangan diri murid bermasalah   pembelajaran  secara menyeluruh.

2.    Untuk melaksana dan menilai aktiviti-aktiviti terapi yang bersesuaian untuk  murid yang bermasalah.

Keperluan Terapi
1.    Melatih murid-murid  bermasalah pembelajaran menguasai kemahiran-kemahiran tertentu yang bersesuaian dan berkaitan dengan kehidupan seharian.
2.    Mewujudkan suasana persekitaran yang menyeronokkan.
3.    Meransang murid untuk bergerak-balas secara positif terhadap sesuatu kemahiran.

4.    Meningkatkan perkembangan fungsi kognitif, emosi, sosial, dan psikomotor murid bermasalah pembelajaran

Thursday, 23 January 2014

Definisi Terapi

Terapi ialah cara atau kaedah yang digunakan untuk menyembuh atau memperbaiki semula keadaan sesuatu benda yang telah rosak.  Dalam konteks pendidikan, terapi ialah cara kerja atau kaedah yang digunakan untuk memulihkan atau memperbaiki individu tersebut untuk melakukan sesuatu kerja dengan lebih baik.  Terapi dapat membantu seseorang individu untuk bergerak-balas terhadap sesuatu aktiviti atau kemahiran-kemahiran yang tertentu.  Menurut Kamus Dewan Tatabahasa Edisi Keempat, terapi ialah rawatan sesuatu penyakit fizikal atau mental secara proses pemulihan tanpa penggunaan ubat atau pembedahan atau pekerjaan aktiviti fizikal atau mental yang dilakukan untuk membantu merawat, memulihkan atau mengatasi masalah-masalah fizikal, emosi atau sosial yang dihadapi oleh seseorang.  Kamus Perubatan Mosby (2001), mendefinisikan terapi dengan rawatan pemulihan ke atas pesakit yang pernah menghidapi sebarang penyakit atau mengalami sesuatu kecederaan bertujuan mengembalikan kefungsian badan secara normal.