Wednesday, 2 April 2014
TERAPI HIDRO
Hidroterapi bermaksud terapi air atau rawatan air. Rawatan ini bukan sahaja melakukan aktiviti renang malah aktiviti berendam di dalam air juga dilakukan. Terapi hidro menggunakan air sebagai medium semulajadi untuk meringankan atau mengubah keadaan sedia ada kepada yang lebih baik.Terapi ini sangatlah sesuai untuk perkembangkan fizikal pergerakan motor kasar dan halus serta mental. Otot dan otak dirangsang kerana pergerakan dalam air lebih mudah dan meredakan ketegangan dan rasa sakit.
PERKEMBANGAN TERAPI HIDRO
Berdasarkan sejarah, air dipelopori oleh Paderi Bavaria Jerman, Sebastian Kneipp pada awal abad ke-19 yang menghidap penyakit batuk kering. Dia percaya banyak penyakit boleh disembuhkan oleh air kerana air boleh menyingkirkan toksik dan bahan kumuh dalam badan. Ketika sakit, dia membaca buku mengenai terapi hidro karya seorang pakar perubatan mengatakan bahawa penyakitnya boleh dirawat jika dia berendam 2-3 kali seminggu di sungai Danube yang sejuk untuk meransang sistem imun.Terbukti selepas melakukannya, kesihatan Kneipp bertambah baik dan dari situ dia mula meneroka lebih dalam lagi tentang terapi air dan memperkenalkan kaedahnya sendiri.
Sebenarnya sejarah rawatan menggunakan air bermula 4500 tahun sebelum Masihi berdasarkan penemuan runtuhan tab mandi kuno di Pakistan. MaNakala rumah mandi awam dikatakan menjadi antara unsur penting dalam budaya Rom kuno. Malah pakar perubatan Rom, Galen dan Celsus menulis majalah menyarankan amalan mandian sejuk dan suam bagi mencegah penyakit.
Rumah mandi awam mula popular di seluruh Eropah pada kurun ke-17 dan 18 dan menjadi ikutan di Amerika pada pertengahan tahun 1700-an. Penggunaan air bagi tujuan perubatan juga tercatat dalam sejarah Cina, Jepun, India, Yunani dan Timur Tengah. Terapi air terus berkembang di seluruh pelosok dunia dan digunakan sebagai satu rawatan alternatif bagi menyembuhkan pelbagai jenis penyakit.
KEPERLUAN TERAPI HIDRO
Hidroterapi didapati sesuai untuk perkembangan fizikal dan pergerakan motor kasar dan motor halus serta mental murid-murid berkeperluan khas di mana segala otot-otot dan otak mereka dapat dirangsang, pergerakan dalam air lebih mudah dan bebas, serta tidak dibebani seperti keperluan alat sokongan yang menghadkan pergerakan.
Imbangan dalam air bukanlah masalah utama. Oleh itu lebih banyak pergerakan dapat dilakukan dan daya penumpuan individu dapat dipertingkatkan dan masalah tingkahlaku didapati tidak seperti lazimnya. Ini disebabkan oleh ransangan air secara semulajadi.
Walaubagaimanapun, murid-murid mungkin mengalami sedikit rasa takut dengan air. Di sinilah guru memainkan peranan membantu dalam membina keyakinan diri. Hasilnya murid-murid akan dapat membina konsep diri yang positif melalui aktiviti hidroterapi ini. Melalui hidroterapi juga, ianya dapat memantapkan perkembangan fizikal melalui pelbagai aktiviti seperti regangan, melembutkan sendi-sendi, meningkatkan daya ketahanan otot-otot dan jantung. Banyak aktiviti dan pergerakan yang tidak dapat dilakukan di darat dapat dipraktikkan di dalam air.
Dalam hubungan ini, terapi hidro dapat meneroka pergerakan-pergerakan yang boleh dilakukan oleh murid-murid ini. Bagi sesetengah murid, mereka didapati lebih berkeyakinan di air berbanding di darat. Kejayaan sesuatu program pengajaran bergantung pada prosedur pengajaran yang jelas, sokongan dan garis panduan yang diberi. Walau bagaimanapun garis panduan adalah sama untuk semua, hanya penyesuaian dan modifikasi diperlukan terhadap individu berkeperluanyang unik ini.
Sebelum menjayakan aktiviti renang untuk murid-murid berkeperluan khas ini, faktor yang paling penting dan perlu diambil kira adalah faktor keselamatan. Kita melihat faktor keselamatan ini dalam sudut ketidakupayaan fizikal dan tahap ketidakupayaan intelektual murid-murid tersebut.
i. Ketidakupayaan Fizikal
Guru hendaklah berada di dalam air dan bersedia untuk menerima murid ke dalam kolam. Semasa berada di dalam air hendaklah dalam kedudukan berdiri dengan kaki terbuka dan kepala berada di atas paras air. Gunakan bahagian atas badan untuk mengawal imbangan dan sentiasa apungkan badan. Elakkan daripada menunjukkan perasaan bimbang kepada murid sewaktu berada di dalam air kerana ini boleh menyebabkan mereka menjadi bimbang dan takut. Guru perlu sentiasa bercakap dan memberi galakkan kepada murid semasa mereka hendak masuk ke dalam air. ‘Eye Contact’ boleh membantu membina keyakinan murid. Latihan hendaklah dimulakan dengan memasuki kawasan sudut kolam yang cetek.
ii. Ketidakupayaan Intelektual
Ketidakupayaan intelek juga dialami di mana tahap tumpuan yang singkat menyebabkan maklumat yang diberi tidak dapat disimpan dengan sempurna. Oleh itu, penjelasan guru perlulah ringkas dan tepat. Terdapat murid berkeperluan khas yang kurang persepsi kemahiran motor dan persepsi mengenai jarak atau kedalaman kolam renang. Maka persepsi yang tepat dan betul perlu disampaikan kepada mereka. Harus diingat bahawa murid-murid berkeperluan khas tidak mempunyai pencapaian kemahiran yang sama, namun pada satu keadaan atau ketika mereka mungkin boleh menguasainya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment